Thursday, 26 March 2015

Trend Pakaian Tradisional Melayu

Salam,
Sudah tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum Aidilfitri menjelma semula, ada yang sudah mula buat persiapan raya, ada yang masih memikirkan tema warna untuk raya tahun ini. Nova pula, dah mula selak-selak majalah dan mengintai-intai laman web shopping online tengok-tengok kalau ada yang berkenan terus je beli. Yang pastinya mestilah pakaian tradisional Melayu.

Pakaian Tradisional Melayu semestinya menjadi pilihan Nova ketika menghadiri acara perkahwinan dan jemputan kenduri-kendara.

Bak kata pepatah, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, begitulah trend pakaian tradisional Melayu kita. Baju kurung adalah pakaian tradisional dan pakaian kebangsaan yang telah diperkenalkan sejak berkurun lamanya. Selain itu, ia menjadi merupakan pakaian harian ramai wanita. Macam Nova, setiap hari wajib berbaju kurung ke pejabat. Baju kurung juga adalah pakaian wajib yang dipakai setiap kali kita menyambut perayaan besar seperti Hari raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. 

Bukan itu sahaja, baju kurung juga menjadi pilihan utama apabila ingin menghadiri majlis-majlis rasmi dan formal. Pendek kata lah kan, setiap wanita di Malaysia tidak mengira bangsa dan agama pastinya memiliki sekurang-kurangnya sepasang baju kurung. Jom kita lihat revolusi trend pakaian tradisional Melayu ini sejak dahulu hingga kini;


Baju Kurung Pesak

Ini merupakan rekaan baju kurung klasik yang mula-mula direka dengan mempunyai pesak di bahagian tepi serta kain yang berlipat tepi. Baju kurung jenis ini adalah pakaian kebangsaan wanita Malaysia yang juga turut dijadikan sebagai pakaian rasmi ke sekolah.


Baju Kurung Pahang

Baju kurung Pahang pula merupakan jenis baju kurung yang direka dengan potongan pesak sedikit lebar berbanding baju kurung yang biasa. Bahagian kain juga biasanya tidak berlipat tepi tetapi berlipat di bahagian hadapan. Kalau nak tahu Nova memang sukakan baju kurung Pahang kerana nova rasa lebih kemas dan selesa.


Baju Kurung Moden

Revolusi fesyen baju kurung berkembang lagi seterusnya dengan rekaan baju kurung moden yang mempunyai potongan bahagian atas dan tangan yang lebih pendek dan berukuran sedikit mengikut bentuk badan. Selain tu, potongan kain juga tidak berlipat dan berukuran seperti ‘mermaid’.



Baju Kurung Peplum

Selain baju kurung moden, baju kurung peplum juga merupakan rekaan baju kurung terkini yang mempunyai potongan beropol di bahagian pinggang. Juga mempunyai potongan pendek pada bahagian atas baju dan tangan. Tahun ini, Nova rancang nak menggayakan baju kurung peplum kerana rekaan baju ini banyak yang cantik-cantik dan menarik. Korang pula macam mana? Tahun ni nak pakai baju kurung apa?

Sekian, terima kasih kerana singgah ke sini. Jumpa lagi ya!