Wednesday, 30 September 2015

Buat Baik Dibalas Baik, Buat Jahat Jangan Sekali

Salam,
Dalam dunia ini, akan ada banyak Cabaran dan Ujian yang setiap manusia perlu tempuhi tidak kira muda ataupun tua. Cabaran dan Ujian ini bukan sahaja dalam bentuk musibah, kesakitan mahupun kegagalan semata-mata. Kebahagiaan yang dikecapi, wang dan harta, keluarga bahagia dan kesempurnaan bentuk fizikal juga merupakan satu ujian buat manusia. Bukankah manusia itu perlu sentiasa beristiqamah dan bepegang teguh pada jalan yang lurus? Ya.. itulah tanggungjawab kita sebagai seorang khalifah di bumi Allah ini. 


Setiap cabaran ini adalah untuk manusia menilai sejauh mana kesabaran, keimanan dan ketakwaan mereka pada yang Esa. Setiap cubaan ini ada yang sangat sukar dan ada yang sangat mudah. Apa sahaja yang Allah S.W.T berikan kepada manusia, adalah untuk menguji sejauh mana sayang dan kasihnya diri kita padaNya.

Cabaran atau ujian ini kadang-kadang untuk dikongsi bersama saudara sesama manusia yang lain. Bukankah jika berat ujian itu, jika dibantu akan ringanlah ia. Manusia kadang alpa, melihatkan musibah pada saudara yang lain hanya dibiarkan sahaja. Doa juga adalah bentuk bantuan yang boleh diberikan jika wang ringgit mahupun kudrat tidak mampu disumbangkan. 

Alangkah indahnya dunia ini jika manusia itu saling kasih mengasihi sesama mereka. Ya, tiada manusia yang sempurna dan manusia jugalah yang sering membuat kemusnahan, kerosakan dan peperangan. Jika jalan penyelesaiannya adalah kemaafan, apa salahnya. Sentiasalah kita semak hati, semak perbuatan agar tidak lari dan tidak jauh dari Istiqamah. Kasih mengasihi itu kan indah.

"Ya Allah, seandainya aku telah jauh darimu, pulangkanlah aku kembali ke jalan yang benar. Titikkanlah kesabaran di dalam hati ini supaya aku tidak menyakiti hati-hati mereka. Janganlah kau jauhi aku dariMu ya Allah kerana sikap burukku ini yang khilafnya datang dari hati yang tidak Istiqamah padaMu ya Allah. Sesungguhnya aku menerima setiap dari ujian Mu untuk menguatkan keimanan dan ketaqwaanku pada Mu Ya Allah!"


Terima kasih kepada insan yang berhati baik memulangkan semula Jam Tangan pemberian suamiku yang tertinggal di atas sinki semalam. Syukur. Ya, kerisauan membuak-buak di dalam hati bila jam ini tiada di mana-mana. erm.. ketawa juga aku di dalam hati memikirkan balik peristiwa hari ini. Itulah agaknya perasaan empunya diri yang kehilangan jam tahun lepas. Terpancar kegembiraan pada wajahnya semasa aku hulurkan sebentuk jam tangan putih itu kembali kepada tuannya. Itulah agaknya yang dikatakan Buat Baik Dibalas Baik. Hari ini hari ujian mu wahai sahabat.. mungkin esok hari, ujian ku pula.


Sekian.  

N.L